4 cedera nahas 3 kereta langgar tayar lori tercabut

4 cedera nahas 3 kereta langgar tayar lori tercabut

Seorang lelaki, wanita dan dua kanak-kanak cedera selepas kereta mereka bersama dua lagi kereta melanggar tayar kiri lori tangki tercabut di KM199 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit dari Toyota Yaris. (Gambar JBPM)
IPOH:
Empat sekeluarga cedera dalam kemalangan tiga kereta melanggar tayar kiri lori tangki muatan minyak 45 tan yang tercabut di KM199 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat menghala ke selatan dekat Sitiawan, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mangsa yang menaiki kereta Toyota Yaris itu melibatkan wanita berusia 36 tahun yang tersepit, lelaki 35 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga serta empat tahun.

Menurutnya, tiga lelaki menaiki Honda Civic, Mercedes dan lori tangki secara berasingan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.40 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan serta Seri Manjung tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudiannya.

“Ketua operasi melaksanakan ‘size-up’, seterusnya mengaplikasikan konsep Saver (System Approach To Victim Entrapment Rescue) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa dikeluarkan.

“Seorang mangsa tersepit dibawa EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan), manakala tiga mangsa cedera diserahkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.