RUU pekerja gig dibentang sidang Parlimen akan datang

RUU pekerja gig dibentang sidang Parlimen akan datang

RUU melibatkan 1.12 juta pekerja gig sepatutnya dibentang pada Disember lalu, namun ditangguh bagi lebih banyak sesi libat urus.

e hailing
Steven Sim berkata, satu sesi dialog besar-besaran akan diadakan bagi kali terakhir pada masa terdekat, sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
GEORGE TOWN:
Kementerian Sumber Manusia merancang membentangkan rang undang-undang (RUU) pekerja gig pada sidang Parlimen akan datang dalam usaha melindungi kebajikan pekerja di sektor itu.

Menteri Steven Sim, berkata satu sesi dialog secara besar-besaran akan diadakan bagi kali terakhir dalam masa terdekat, sebelum RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat.

“Kita sepatutnya nak bentangkan dalam sidang Parlimen tahun lepas, tetapi selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk wakil pekerja dan platform, mereka telah memberikan maklum balas supaya kita tangguhkan untuk perincikan lagi.

“Kita dah siapkan draf (RUU) itu untuk bentang tetapi sebab ada maklum balas dan ini satu undang-undang yang baharu, bersejarah…jadi saya nak pastikan supaya apabila kita bentangkan di Parlimen, ia benar-benar boleh membawa manfaat kepada sektor gig khususnya kepada perlindungan pekerja gig,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian kini mengadakan jerayawara di seluruh negara untuk berbincang secara komprehensif dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan input tambahan.

Sim memaklumkan terdapat 1.12 juta pekerja gig di Malaysia dan 146 penyedia platform merangkumi 127 platform tempatan serta 19 daripada luar negara.

Seramai 678,000 pekerja gig daripada 20 sektor mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 2 Ogos 2024, termasuk 145,232 pencarum sektor pengangkutan penumpang dan 96,224 pencarum sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Pada 22 Nov lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan perpaduan memaklumkan pembentangan RUU pekerja gig, dijadual dibentangkan di Parlimen pada Disember 2024, ditangguhkan untuk membuka ruang dan peluang bagi lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.