Rakyat Malaysia di luar negara perlu ada hak sama undi, kata PM

Rakyat Malaysia di luar negara perlu ada hak sama undi, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah membangkitkan isu undi pos rakyat Malaysia di luar negara dengan SPR.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim bersalaman dengan tetamu pada majlis minum petang dan ramah mesra bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia di Belgium dan Luxembourg sempena lawatan kerja ke Belgium. (Gambar Bernama)
BRUSSELS:
Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara perlu mempunyai hak sama mengundi dalam pilihan raya, seperti mereka di tanah air, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, beliau sudah membangkitkan isu undi pos rakyat Malaysia di luar negara dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPR sebuah badan bebas…namun, saya telah membangkitkan perkara ini kepada mereka. Mereka perlu memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengundi,” katanya pada majlis minum petang dan ramah mesra bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia, di sini.

Anwar yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja dua hari ke Belgium berkata demikian ketika ditanya mengenai kesukaran dihadapi rakyat Malaysia di luar negara setiap kali pilihan raya berlangsung di Malaysia.

“Malah, saya beritahu jangan lakukannya menerusi kedutaan (untuk proses pengundian). Gunakan beberapa mekanisme supaya orang ramai boleh datang dan mengundi, walaupun ini bermakna ia akan menyebabkan pertambahan dana,” katanya sambil menambah SPR menerima cadangannya.

Ditanya adakah Kerajaan memberi keutamaan terhadap teknologi hijau dan penghutanan, Anwar berkata, perkara itu antara agenda utama pentadbirannya.

“Eropah memusnahkan semua hutan, jangan beritahu kami supaya belajar daripada mereka. Hutan kita kini berada pada 54% sekarang, malah paru-paru hijau kita bertambah, tahun lepas kita tanam sejuta pokok sebagai sebahagian kempen penghutanan kita.”

Beliau berkata, Malaysia dan rakan kongsi Asean memberi tumpuan kepada grid Asean yang bukan saja menjana kuasa hidro, tetapi juga daripada tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui lain.

“Kita ada 140,000 pelajar asing di universiti kita. Saya melawat banyak negara membangun dan pemimpin mereka mahu menghantar pelajar dan pegawai mereka belajar daripada kita dalam bidang seperti semikonduktor.”

Bagi mempertingkatkan taraf pendidikan di Malaysia, katanya, kerajaan bekerjasama dengan industri dan ini bermakna disiplin dan teknologi baharu perlu diperoleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.