
Ti Lian Ker dari MCA berkata, lesen minuman keras yang diberikan bawah Akta Duti Eksais pada umumnya akan disertakan syarat, termasuk melarang penjualan alkohol kepada kanak-kanak dan umat Islam.
“Undang-undang kecil atau peraturan kerajaan tempatan tidak boleh memintas atau mengenakan syarat lain ke atas lesen yang diluluskan bawah undang-undang persekutuan.”
Beliau berkata, memandangkan sudah ada undang-undang melarang umat Islam membeli atau mengambil minuman beralkohol, maka tidak patut ada penalti atau sekatan ke atas pemegang lesen.
Menurutnya, larangan atau sekatan tambahan dikenakan PBT akan menjadi tidak sah kerana melanggar Perlembagaan, manakala sekatan am oleh PBT terhadap penjualan alkohol juga akan menjejaskan hak Perlembagaan dan pilihan gaya hidup orang bukan Islam.

Komen Ti menyusul rancangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperluaskan larangan penjualan arak dan minuman beralkohol ke kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam. Buat masa ini, larangan sejak 2021 itu hanya dilaksanakan di Manjoi, bandar satelit di Ipoh.
Sabtu lalu, Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, ada cadangan dan tuntutan supaya larangan itu diperluaskan ke Ulu Chepor, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.
Beliau berkata, MBI pada dasarnya bersetuju, tetapi cadangan itu perlu diteliti.
Ti yang juga bekas Adun di Pahang mengimbau tindakannya mencabar rampasan bir dari sebuah kedai di negeri itu 20 tahun lalu.
Menurutnya, bir itu dirampas susulan aduan Umno bahawa ia tidak patut dijual di kawasan majoriti Melayu. Tetapi, beliau berhujah tiada undang-undang melarang penjualan minuman beralkohol di kawasan majoriti Melayu.
Beliau berkata, wakil rakyat perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dan menjaga hak Perlembagaan serta tidak tunduk kepada tekanan politik.