Cadang jual beras campuran tak selesai masalah, kata Syed Hussin

Cadang jual beras campuran tak selesai masalah, kata Syed Hussin

Ketua kluster makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup kata isunya beras putih tempatan 'hilang' dalam pasaran.

Ketua Kluster Makanan Naccol, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, percaya mewujudkan satu harga akan elak sebarang manipulasi beras putih tempatan.
PETALING JAYA:
Cadangan membenarkan penjualan beras campuran dipercayai tidak akan menyelesaikan masalah bekalan beras putih tempatan (BPT), menurut ketua kluster makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (Naccol).

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata BPT ‘hilang’ di pasaran kerana harga beras putih import (BPI) mahal berbanding harga BPT yang ditetapkan siling. “Isunya BPT ‘hilang’ dalam pasaran.”

“BPT hilang disebabkan beras putih import (BPI) mahal dan BPT ada harga siling,” katanya.

Syed Hussin percaya penyelesaiannya adalah mewujudkan satu harga bagi BPT dan BPI untuk kampit 10kg, bagi mengelak sebarang manipulasi BPT.

“Melalui kaedah ini BPT dan BPI ditetapkan dalam satu harga bagi beras 10kg,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, pada 15 Jan lalu mengumumkan kementerian sedang kaji secara terperinci sama ada mahu membenarkan atau tidak penjualan beras campuran.

Beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bekalan beras tempatan kena dipastikan cukup kalau tidak mahu campur.

Masalah sekarang, katanya, banyak aduan dari pengilang yang mereka tidak boleh jual beras dengan harga RM26 untuk kampit 10kg sebab harga itu harga pada 2008.

Hasil kajian akan dibentang kepada perdana menteri pada suku pertama tahun ini.

Mohamad berkata tiada larangan jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras, malah cadangan itu turut disokong Suruhanjaya Persaingan Malaysia sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras.

Pada 19 Jan, wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Muhamad Rafidaus Abu Bakar, berkata penjualan beras campuran berisiko menyebabkan kualiti beras tempatan terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.