
Mereka turut berpendapat gabungan terbabit sukar menjadi arus perdana tanpa sokongan parti besar dan kekangan sumber kewangan, sekali gus mengehadkan kemampuan menunaikan janji atau pembangunan di kawasan masing-masing.

Mengulas cadangan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu, Tawfik Yaakub berkata kumpulan wakil rakyat tidak mewakili parti kerana dipecat atau terlucut keahlian sukar bergerak secara kolektif kerana persamaan mereka hanyalah kekecewaan terhadap perjuangan, parti atau pemimpin yang mereka lawan.
“Justeru sukar nak satukan di bawah satu platform yang selari pandangan antara satu sama lain, akhirnya berpecah.
“Suara mereka pun semakin tenggelam dalam arena politik negara,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Syed Hussin berkata beliau sedia menggerakkan usaha mengumpulkan wakil rakyat bebas bagi membentuk blok ‘gelombang ketiga’ di Parlimen.
Menurut bekas wakil rakyat Bersatu terbabit, langkah itu bertujuan memberi alternatif kepada rakyat, dalam landskap politik yang didakwa semakin berpecah akibat konflik dalaman parti-parti politik.
Tanpa menyebut nama mana-mana Ahli Parlimen, cadangan Syed Hussin itu berlatarkan perkembangan politik membabitkan Bersatu, yang baru-baru ini memecat timbalan presidennya, Hamzah Zainudin, yang juga ketua pembangkang.
Hamzah bagaimanapun dikatakan disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu.
Pada 2023, enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu Syed Hussin, Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pada PRU15, hanya dua dua wakil rakyat menang atas tiket bebas iaitu Riduan Rubin (Tenom) dan Verdon Bahanda (Kudat).

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata tanpa ideologi dan visi bersama, blok bebas mudah berpecah apabila berdepan tekanan atau tawaran daripada parti besar yang mempunyai kekuatan sumber.
Menurut penganalisis di Global Asia Consulting itu, sejarah politik Malaysia menunjukkan jumlah wakil bebas di Parlimen sentiasa kecil dan akhirnya ramai menyertai parti.
“Berdasarkan pengalaman luar negara, Indonesia pernah menyaksikan calon bebas di peringkat daerah, tetapi mereka jarang bertahan lama tanpa sokongan parti besar.
“Thailand pula menyaksikan fenomena ‘independent MP’ yang akhirnya bergabung dalam koalisi parti kerana keperluan dana dan struktur,” katanya.
“Kedua-dua contoh ini menunjukkan bahawa blok bebas boleh menjadi suara pengimbang, tetapi sukar menjadi arus utama.”