3 paradoks beri cabaran utama pasaran buruh, kata menteri

3 paradoks beri cabaran utama pasaran buruh, kata menteri

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata paradoks pertama ialah kadar gaji penengah rendah yang tidak setara dengan kadar pengangguran rendah.

steven sim
Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada sidang media selepas lawatan kerja ke atas Gabungan Kesatuan Sekerja Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Malaysia berdepan tiga paradoks yang memberi cabaran utama kepada pasaran buruh negara, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata, paradoks (sesuatu bertentangan dengan pendapat diterima umum) pertama ialah kadar gaji penengah rendah yang tidak setara dengan kadar pengangguran rendah.

“Kadar pengangguran rendah jadi maksudnya pekerja (sepatutnya) boleh buat tawaran (untuk dapatkan gaji yang lebih tinggi), ada power untuk ‘bargain’ (gaji) sebab tidak cukup pekerja (dalam pasaran),” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke atas Gabungan Kesatuan Sekerja Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas.

Beliau berkata, paradoks kedua pula ketidakpadanan jumlah graduan berkelulusan berbanding maklum balas pihak industri yang menyatakan mereka memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.

“Pihak kita dapat maklum balas yang kata kita memerlukan lebih ramai jurutera, juruteknik dan juruteknik malah ada yang kata kita perlu (tambahan) 60,000 pekerja untuk menampung keperluan industri.

“Tetapi pada masa sama kita juga dapati bahawa mereka yang mempunyai kelulusan tinggi tidak mendapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan kemahiran mereka,” katanya.

Sim berkata, ketidakpadanan ini mungkin boleh dikaitkan dengan kadar guna tenaga tidak penuh yang agak tinggi iaitu 36.8%.

Paradoks ketiga iaitu ketidakcukupan peluang pekerjaan baharu bagi menampung jumlah graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM) yang dilahirkan institusi pendidikan tinggi pada setiap tahun.

“Setiap tahun universiti kita melahirkan lebih kurang 300,000 siswazah dan satu pertiga daripada angka ini adalah dalam sektor STEM. Kita juga ada tambahan lebih kurang 100,000 lulusan TVET di pelbagai peringkat

“Tetapi pada masa sama kalau kita lihat trend ekonomi, kita hanya mampu mewujudkan lebih kurang 50,000 peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi,” katanya.

Dalam usaha menangani paradoks berkenaan, Sim berkata kerajaan selama dua tahun kebelakangan ini bekerja keras untuk mempergiat pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dan menyelaraskan keperluan industri melalui kerangka Ekonomi Madani.

“Kerangka itu, khususnya untuk kita nak ‘reconfigure’ semula ekonomi bagi dapat menaikkan siling dan nilai ekonomi negara supaya ekonomi mampu menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang bekerjasama dengan institusi pendidikan dan industri untuk merapatkan jurang antara kemahiran graduan dan keperluan pasaran.

“Ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat tetapi kita mesti bertindak sekarang untuk mengelakkan masalah ini terus meruncing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.