
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu dan penghantaran pulang mereka sedang diuruskan Kementerian Luar bersama Kementerian Pertahanan.
“Kedua-dua kementerian yang terlibat akan memperincikan mengenai perkara itu dalam masa terdekat dan semua mereka berada dalam keadaan sihat.
“Mereka (rakyat Palestin) telah menerima rawatan dan memohon untuk pulang…jadi dalam keadaan gencatan senjata, ini mungkin masa sesuai untuk penghantaran pulang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Permukiman KKDW.
Tempoh perjanjian gencatan senjata di Gaza berlangsung selama 42 hari dan berkuat kuasa hari ini.
Pada 16 Ogos lalu, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza untuk rawatan serta dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini manakala saudara-mara lain ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).
Sementara itu, Zahid berkata kerajaan Malaysia menerima permohonan maaf daripada Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali susulan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di WTKL.
“Kita tahu bahawa mungkin mereka (warga Palestin) berada dalam keadaan tekanan kerana telah lama berada di Malaysia,” katanya.
Terdapat dua insiden dilaporkan iaitu masing-masing pada 5 Jan dan Oktober lalu.