
Larangan itu akan dikuatkuasakan sebelum perayaan, iaitu pada 27 dan 28 Jan, serta selepas perayaan pada 1 dan 2 Feb, menurut Kementerian Pengangkutan.
Katanya, larangan itu bertujuan mengelak kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian, yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
“Selain itu, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan juga akan dikuatkuasakan bersama-sama larangan pemanduan ini bermula 28 Jan hingga 2 Feb depan sepanjang pelaksanaan Op Selamat polis,” menurut kementerian dalam kenyataan.
Bagi memastikan pematuhan terhadap perintah larangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkat kegiatan penguatkuasaan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Tahun Baru Cina 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain.
Kementerian menasihatkan semua pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.