Suspek penjenayah lari IPD Tangkak ditahan semula

Suspek penjenayah lari IPD Tangkak ditahan semula

Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata suspek ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah di Kluang.

Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata suspek penjenayah itu ditangkap hasil maklumat orang awam. (Gambar Facebook)
TANGKAK:
Polis berjaya menahan semula suspek penjenayah yang melarikan diri dari tahanan di IPD Tangkak pada Rabu lalu, di sebuah rumah di Kluang pagi tadi.

Ketua Polis Tangkak Roslan Mohd Talib berkata hasil maklumat awam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tangkak dan dibantu polis Kluang menahan lelaki terbabit pada 10.50 pagi.

“Polis ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan dilakukan, kita mengesahkan lelaki itu adalah tahanan yang sememangnya dikehendaki selepas melarikan diri daripada kawalan polis pada 15 Jan lepas.

“Hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna biru yang dilaporkan hilang di Tangkak, disyaki digunakan suspek untuk melarikan diri.

“Selain itu, hasil maklumat suspek utama, polis berjaya menahan dua lagi rakannya yang disyaki bersubahat melindungi pesalah yang melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Roslan berkata suspek dan dua rakannya kemudian dibawa ke IPD Tangkak untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.