Sampel darah 4 mangsa maut di konsert Pinkfish ada dadah, kata polis

Sampel darah 4 mangsa maut di konsert Pinkfish ada dadah, kata polis

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata laporan Jabatan Kimia juga mendapati seorang daripada dua mangsa yang dirawat di hospital sebelum ini positif dadah.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata polis masih menunggu laporan toksikologi seorang lagi mangsa yang masih dirawat di PPUM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan ujian darah empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada malam ambang tahun baharu lalu ada kandungan dadah.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata pengesahan itu hasil laporan daripada Jabatan Kimia yang diterima polis pada minggu lalu.

“Laporan diterima dari Jabatan Kimia, darah semua si mati mengandungi kandungan dadah dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan laporan penuh.

“Laporan toksikologi untuk seorang daripada dua mangsa yang sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi hospital juga sudah diterima dan didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Katanya, polis juga masih menunggu laporan toksikologi seorang lagi mangsa yang dirawat di PPUM dan menunggu kebenaran hospital untuk merekod keterangan lelaki berusia 30 tahun itu.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan seramai 52 saksi bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan awal polis mengesyaki semua mangsa yang meninggal dunia itu mengambil pil ecstasy.

Katanya, polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kematian.

Dalam kejadian itu tiga lagi pengunjung konsert itu dirawat di PPUM dan Hospital Kuala Lumpur menunjukkan simptom yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.