Kesesakan Lebuhraya Persekutuan perlu pelbagai penyelesaian

Kesesakan Lebuhraya Persekutuan perlu pelbagai penyelesaian

Kesesakan di Lebuhraya Persekutuan yang menjadi 'rutin harian' bagi kebanyakan pengguna menyusahkan kehidupan dan beri kesan kepada produktiviti.

Lebuhraya Persekutuan, laluan ikonik menghubungkan Lembah Klang kekal sibuk dengan aliran trafik harian yang menjadi sebahagian kehidupan warga kota.
PETALING JAYA:
Kesesakan di Lebuhraya Persekutuan, yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, berlarutan akibat peningkatan jumlah kenderaan, lantas menimbulkan persoalan sama ada laluan itu masih mampu menampung beban lalu lintas.

Bagi pengguna, meskipun kesesakan yang menjadi ‘rutin harian’ itu sedikit-sebanyak menyusahkan kehidupan seharian dan memberi kesan kepada produktiviti mereka.

Ab Jadid Mohd Yusoff.

Pemandu treler, Ab Jadid Mohd Yusoff, 47, berkata kesesakan menyebabkan masa perjalanan menjadi panjang, melewatkan jadual penghantaran, dan menjejaskan urusan kerja.

“Kadang-kadang, perjalanan dari Shah Alam ke Sungei Wei boleh ambil masa lebih dari satu jam, bahkan dua jam. Saya pernah dimarahi bos sebab terlambat,” katanya.

Muhammad Syahir Mohd Zaini.

Muhammad Syahir Mohd Zaini, 35, peniaga dari Subang Jaya, berkata sikap pemandu dan kelemahan penyelenggaraan jalan menyumbang kepada masalah ini.

“Kemalangan kerap berlaku di sini, dan apabila jalan tidak diselenggara, ia menambah lagi kesesakan,” katanya.

Muhammad Zaied Mohd Razi.

Juruwang, Muhammad Zaied Mohd Razi, 22, berkongsi dilema penunggang motosikal yang menggunakan laluan utama itu.

“Jalan motosikal sempit dan berlubang, jadi sukar untuk mengelak. Kalau ikut jalan besar pula, bahaya sebab kereta banyak dan laju,” katanya, yang berharap lebih ramai pengguna memilih pengangkutan awam

Revolusi industri dan migrasi pengaruh besar

Seorang pakar mengingatkan bahawa Lebuhraya Persekutuan dibina ketika negara masih pertanian, maka perancangannya bersandarkan pada pertumbuhan penduduk yang sederhana.

Muhammad Azwan Sulaiman.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam, Muhammad Azwan Sulaiman, percaya perancangan awal Lebuhraya Persekutuan tidak menjangkakan kadar pertumbuhan penduduk dan jumlah kenderaan yang begitu pesat selepas negara beralih kepada negara industri.

“Kita tidak boleh melihat reka bentuk sebagai salah satu kegagalan utama. Kita perlu melihat kepada faktor luar, seperti revolusi industri dan migrasi besar-besaran ke kawasan bandar, yang mempengaruhi keperluan terhadap prasarana jalan raya,” katanya.

Rosli Azad Khan.

Seorang lagi pakar, Rosli Azad Khan, mengulangi seruan kepada pengangkutan awam sebagai penyelesaian jangka panjang.

Selain memperkenalkan lorong khas bagi bas, seperti Busway di Jakarta sebagai contoh, beliau mencadangkan Lebuhraya Persekutuan dilengkapkan dengan transit aliran bas atau bus rapid transit (BRT).

“Lebuhraya Persekutuan amat sesuai ke arah mengadakan BRT kerana jajarannya agak lurus dan datar, di persekitaran kawasan perumahan dan pejabat-pejabat yang senang dihubungi oleh pejalan kaki,” katanya.

Malaysia mempunyai BRT yang berfungsi di Subang Jaya, yang mana bas menggunakan laluan bertingkat khas untuk menghubungkan USJ dan Sunway.

Keadaan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan dipenuhi air melimpah, mencetuskan risiko keselamatan kepada penunggang terutama ketika hujan.

“Perancangan rapi dan teratur pihak berkuasa terlibat seperti Prasarana, JKR, DBKL, PBT boleh memberi keyakinan kepada pengguna kenderaan persendirian untuk menukar cara perjalanan mereka ke ibu kota,” jelasnya, yang percaya laluan khas bagi bas lebih berkesan menangani kesesakan bagi jangka masa panjang, berbanding membina lebuh raya bertingkat.

Rosli turut mencadangkan pengenaan ‘bayaran kesesakan’ ke atas pengguna yang menggunakan kenderaan persendirian di lebuh raya.

“Pendapatan dari ‘bayaran kesesakan’ ini boleh disalurkan kepada pembaikan perkhidmatan bas, seperti stesen bas yang lebih selesa, berhawa dingin, dan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Sistem bayaran kesesakan di Singapura, ‘Electronic Road Pricing’, mengenakan caj ke atas pengguna jalan raya mengikut lokasi dan masa.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, berkata menangani kesesakan lalu lintas perlu mengambil ilham daripada langkah yang sudah diuji di negara lain.

“Semua kaedah harus diambil kira, termasuk mengadakan lebih banyak sistem pengangkutan awam seperti LRT dan BRT,” katanya.

Turut perlu diambil kira ialah kenderaan komersial serta pilihan kaedah pengangkutan yang pelbagai untuk orang ramai.

Laporan Road Traffic Volume Malaysia (RTVM) 2018 menunjukkan kualiti jalan utama di ibu kota berada di tahap D (sederhana) hingga F (gagal), manakala pemilikan kenderaan persendirian Malaysia adalah kedua tertinggi di Asean.

Manakala, data Organisasi Antarabangsa Pengeluar Kenderaan Bermotor (OICA) menunjukkan rakyat Malaysia mencatat pemilikan kenderaan kedua tertinggi di Asia dari 2015 hingga 2020, dengan peningkatan kepada 36.6 juta menjadikan angka ini melebihi jumlah keseluruhan penduduk iaitu 32.6 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.