Curi bungkusan pelanggan, 7 pekerja kurier ditahan

Curi bungkusan pelanggan, 7 pekerja kurier ditahan

Polis berkata syarikat kurier itu membuat laporan polis selepas menerima aduan pelanggan yang memperoleh bungkusan kosong.

azam ismail
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata dua suspek sudah didakwa di Mahkamah Ampang manakala baki lima lagi masih direman hingga 20 Jan ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan tujuh pekerja syarikat kurier disyaki terlibat mencuri bungkusan dikirim pelanggan membabitkan kerugian RM21,818 dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan bermula Isnin hingga semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata kejadian dipercayai berlaku di gudang syarikat kurier berkenaan di Taman Indah Cheras di sini.

Beliau berkata kejadian disedari pengurus keselamatan syarikat berkenaan pada Isnin apabila menerima aduan pelanggan yang memperoleh bungkusan kosong setelah penghantaran dibuat syarikat kurier itu.

“Pengurus berkenaan membuat siasatan dalaman dan mendapati terdapat beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang serta mengesyaki pekerja syarikat mencuri bungkusan milik pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata polis kemudian membuat beberapa serbuan dan menahan enam lelaki serta seorang wanita berumur 21 hingga 51 tahun.

Beliau berkata seorang lelaki dan wanita tempatan yang ditahan didakwa di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada Khamis manakala baki lima lagi suspek direman empat hari bermula semalam hingga 20 Jan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 381 dan 380 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.