
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak sedap hati apabila tersebar berita mengenai gaya hidup mewah ahli perniagaan dalam buruan itu, serta selepas hartawan Tong Kooi Ong memaklumkan kepadanya bahawa Low mesti dipertanggungjawabkan atas 1MDB.
“Namun saya serahkan kepada agensi untuk siasat (Low dan 1MDB) dan saya juga minta PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) untuk meneliti (perkara itu).
“Saya tidak pernah halang mereka,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam bertanya mengenai kod etika menteri: “Salah satu perkara yang perlu anda jauhi adalah dikaitkan atau terlibat dengan ‘individu keji’ yang boleh mencemarkan nama baik anda kerana mereka ini sering menjadi sasaran pihak tertentu.
“Adakah anda setuju anda sepatutnya menjauhkan diri daripada Jho Low (selepas publisiti buruk mengenai kaitan Low dengan 1MDB)?”
Najib menafikan beliau perlu menjauhkan diri daripada Low, dengan berkata ahli perniagaan itu diperlukan kerana hubungannya dengan pegawai kerajaan China.
Abdul Gani ‘bukan disingkir kerana 1MDB’
Najib menegaskan bahawa penyingkiran bekas peguam negara Abdul Gani Patail pada 2015 tiada kaitan dengan 1MDB.
Beliau berkata, siasatan terhadap 1MDB diteruskan walaupun pasukan petugas itu, yang turut dianggotai Abdul Gani, dibubarkan pada 2015.
Menjawab soalan lain, beliau mengulangi bahawa siasatan 1MDB membabitkan dirinya adalah tidak adil.
Beliau bertegas bahawa soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak nampak seperti menyasarkannya, dan kertas siasatan telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara sebelum kenyataannya dirakam.
“Apa sahaja yang saya katakan (selepas kertas siasatan dihantar) tidak lagi penting, dan ini pelanggaran serius terhadap hak saya,” katanya.
Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkait dana 1MDB berjumlah USD681 juta (RM2.28 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 20 Jan.