
Timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, rakyat Sabah sering merungut mengenai isu bekalan elektrik dan air, selain keadaan jalan raya yang teruk.
“Mereka bukan saja kecewa tetapi marah dengan keadaan yang berlaku. Kebetulan, minggu ini saya ke Sabah dan saya merasai sendiri masalah ini.
“Hotel di mana saya menginap di Kota Kinabalu juga berdepan masalah air dengan notis bertulis diberikan kepada setiap pelanggan.
“Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat juga mencabar. Jalan berlubang sana-sini, tetapi ironinya terpampang slogan ‘Sabah Maju Jaya’.
“Rakyat Sabah perlukan perubahan kerana kepimpinan sekarang terbukti gagal,” katanya yang juga timbalan presiden Bersatu dan ketua pembangkang di Facebook.
Terdahulu, Hamzah berkata, PN menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 18 daripada 73 kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan PRN Sabah ke-17, yang mesti diadakan sebelum Disember.
Ini bermakna gabungan itu perlu bekerjasama dengan parti lain jika mahu membentuk kerajaan negeri, walaupun menang setiap kerusi yang dipertandingkan.
PN sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan parti lain pada PRN, dengan rundingan awal diadakan dengan parti tempatan mengenai kemungkinan mewujudkan pakatan.
Kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor terdiri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Warisan dan Barisan Nasional (BN) kini pembangkang di negeri itu, walaupun BN ada menyuarakan mahu bekerjasama dengan PH pada PRN.
Sebaliknya, Warisan berkata, pihaknya hanya akan bekerjasama dengan parti Sabah untuk PRN.