Chegubard repot polis dakwa kementerian ditaja ‘trip mewah’ ke Eropah

Chegubard repot polis dakwa kementerian ditaja ‘trip mewah’ ke Eropah

Chegubard dakwa syarikat mempunyai urus niaga dengan kementerian itu taja lawatan ke England dan Perancis pada 24 hingga 30 Nov 2024.

Chegubard membuat laporan di IPD Dang Wangi berkait dakwaan syarikat swasta taja sebuah kementerian ke luar negara.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Bersatu membuat laporan polis berkait dakwaan pegawai tinggi sebuah kementerian ditaja syarikat swasta ke luar negara.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard mendakwa, syarikat yang mempunyai urus niaga dengan kementerian itu menaja lawatan ke England dan Perancis pada 24 hingga 30 Nov 2024.

“Saya mendapat set dokumen menunjukkan KSU kementerian, timbalan ketua pengarah, pengarah bahagian dan beberapa pegawai tinggi kementerian telah pergi ‘trip mewah’ ke England dan Perancis dengan ditaja sepenuhnya oleh syarikat swasta.

“Berdasarkan dokumen diperoleh, syarikat yang menaja perjalanan mewah itu jelas merupakan syarikat yang ada urusan perniagaan dengan kementerian tersebut. Trip itu disertai pengarah syarikat, CEO dan pegawai kanan syarikat yang menaja,” dakwanya.

Ketua Bersatu Port Dickson itu ditemui selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi.

Beliau yang juga Penyelaras Kebangsaan Pembela Tanah Air (Peta) mahu polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan yang didakwanya suatu ‘salah guna kuasa dan rasuah’.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2022 menegaskan kerajaan tidak membenarkan syarikat swasta menaja lawatan penjawat awam dan ia secara tidak langsung bertentangan arahan itu.

Menurutnya, segala butiran dokumen yang diperoleh diserah kepada polis termasuk jadual perjalanan, tempat penginapan dan sebagainya untuk siasatan.

“Kita juga minta kementerian terlibat membuat penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.