2 mengaku salah miliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak

2 mengaku salah miliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak

Pertuduhan dikemuka ikut Seksyen 10 Akta 792, yang peruntuk hukuman penjara hingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Dua lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, di mahkamah sesyen hari ini. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam komputer masing-masing, bulan lepas.

Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menetapkan 13 Feb ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Lim Xin Yi, 31, dan Goh Kien Yoong, 37.

Lim, bekas pemandu e-panggilan didakwa atas dua pertuduhan mempunyai bahan itu melibatkan 1,961 keping gambar dan 400 video di dalam sebuah unit pemprosesan pusat (CPU) komputer serta 211 keping gambar di dalam sebuah lagi CPU komputer di Taman Skudai Baru, pada 10.30 malam, 23 Dis 2024.

Goh, yang bekerja sendiri didakwa memiliki bahan berkenaan melibatkan 211 keping gambar dan satu video di dalam sebuah komputer riba di Taman Bukit Indah 2, Iskandar Puteri, pada 9 malam, tarikh sama.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin manakala Lim dan Goh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Lim didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Majistret A Shaarmini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Skudai Baru pada 10.30 malam, tarikh sama.

Goh yang turut didakwa di Mahkamah Majistret berasingan didenda RM5,000 atau penjara 12 bulan oleh Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki gambar dan video lucah di dalam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Bukit Indah 2, pada 9 malam, tarikh sama dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan R Nevina, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.