Bekas pegawai kanan kumpulan media Sarawak direman

Bekas pegawai kanan kumpulan media Sarawak direman

Lelaki itu bersama seorang lagi wanita direman dua hari bagi membantu siasatan berkait kes kes pengubahan wang haram.

Bekas pegawai kanan
Bekas pegawai kanan sebuah kumpulan media di Sarawak dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Bekas pegawai kanan sebuah kumpulan media di Sarawak dan seorang wanita direman bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram di bawah Op Ragada.

Perintah reman selama dua hari hingga esok terhadap suspek yang berusia 50-an dan 60-an itu dikeluarkan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan dan Majistret Ling Hui Chuan selepas menerima permohonan daripada polis.

Lelaki itu diwakili peguam Roger Chin manakala wanita itu yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat diwakili peguam Shankar Ram.

Pada 10 Jan lepas, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menahan lima individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram menerusi Op Ragada.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi termasuk di Pulau Pinang dan Sarawak, dengan nilai rampasan aset keseluruhan berjumlah RM17,434,217.

Razarudin berkata tangkapan dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas menerima maklumat risikan kewangan Suspicious Transaction Report (STR) tentang transaksi meragukan melibatkan beberapa akaun bank dalam tempoh 2017 hingga Sept 2024.

Beliau berkata modus operandi dilakukan ialah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001; Seksyen 409, Seksyen 420 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan serta Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.