
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata, dua daripada suspek ditahan pada 8 dan 12 Jan lalu manakala dua lagi ditahan hari ini serta akan direman esok.
Katanya, semua suspek berusia antara 32 hingga 36 tahun dan tiga daripada mereka mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 29 Dis lalu pada jam 5.45 petang.
“Kes ini masih dalam siasatan polis bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Naazron turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis.
“Saksi boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab menerusi talian 013-5495236,” katanya.
Dalam video tular itu, seorang lelaki dilihat memegang seorang lagi lelaki di belakang deretan rumah kedai.
Beberapa lelaki lain pula mengelilingi lelaki itu dan seorang dilihat memukul mangsa dengan menggunakan pengunci stereng kereta.