Sijil pembekal tak layakkan produk diperakui halal, kata KP Jakim

Sijil pembekal tak layakkan produk diperakui halal, kata KP Jakim

Sirajuddin Suhaimee ulas penjelasan pembekal sandwic ‘ham & cheese’ dijual di KK Mart yang bahan untuk menghasilkannya mempunyai sijil halal sah.

Jakim menjelaskan produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan logo terbabit selagi tiada perakuan pihak berautoriti pensijilan halal.
PETALING JAYA:
Penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sirajuddin Suhaimee.

Kenyataan beliau itu menyusul laporan media berhubung penjelasan Shake and Bake Cafe Sdn Bhd yang bahan seperti roti, keju dan kepingan daging ayam digunakan dalam produk sandwic ‘ham & cheese’ mempunyai sijil halal sah.

Kontroversi membabitkan penjualan produk itu susulan logo halal dipaparkan pada produk yang dijual di kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya (UM), minggu lalu didapati palsu.

Menurut Sirajuddin, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan logo terbabit selagi tiada pengesahan atau perakuan pihak berautoriti pensijilan halal.

“Penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.

“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan dan pemprosesan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengusaha cakna terhadap peruntukan undang-undang bagi mengelakkan daripada perkara itu berulang.

Sirajuddin turut menegaskan pemeriksaan Jakim bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jumaat lalu mendapati, produk ‘Ham and Cheese Sandwich‘ berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Malah syarikat menghasilkan produk itu juga bukan pemegang SPHM

“Hasilnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 telah diambil KPDN,” katanya.

UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.