
Aktiviti dagangan ini menyokong matlamat pelaburan KWSP lebih luas dan untuk menjana pendapatan diperlukan bagi pembayaran dividen dalam tahun kewangan tertentu, kata KWSP dalam kenyataan.
KWSP berkata, keputusan terkini membuat tawaran am sukarela bagi saham MAHB pada harga RM11 sesaham mencerminkan rancangan strategik jangka panjang berasingan untuk mencapai pertumbuhan dan pulangan mampan.
Sebagai institusi komited terhadap tadbir urus baik, KWSP juga melaksanakan polisi “Chinese Wall” bagi memastikan pengurus dana tiada akses kepada sebarang maklumat penting yang tidak didedahkan kepada umum, seperti tawaran pengambilalihan mungkin berlaku.
“Polisi ini bertindak sebagai penghalang maklumat antara jabatan berbeza dalam KWSP, menghalang pendedahan maklumat material tidak didedahkan kepada umum dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran.”
KWSP, seperti kebanyakan pelabur institusi besar lain yang mempunyai polisi “Chinese Wall”, memisahkan pasukan mengurus kerjasama strategik atau urusan sulit dengan pasukan mengurus pelaburan dalam ekuiti awam.
Polisi itu menetapkan sempadan ketat antara pasukan mempunyai akses kepada maklumat material tidak didedahkan kepada umum dan pasukan terbabit dalam pasaran awam.
“Ini bagi memastikan keputusan dibuat pengurus dana berdasarkan maklumat tersedia kepada umum saja, mengelakkan sebarang kelebihan tidak adil atau dagangan orang dalam. Langkah ini melindungi integriti operasi KWSP dan mengekalkan kepercayaan terhadap amalan tadbir urusnya.”
KWSP menjadi pemegang saham MAHB sejak 30 Nov 1999, apabila syarikat itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM2.50 sesaham.
Selama 24 tahun, KWSP menguruskan pelaburannya dalam MAHB berpandukan rangka kerja dan strategi jual beli saham teliti bagi memastikan pulangan optimum untuk ahlinya.