Motac siasat syarikat pelancongan gagal terbangkan jemaah umrah

Motac siasat syarikat pelancongan gagal terbangkan jemaah umrah

Syarikat terbabit disarankan menunaikan tempahan sedia ada serta tidak mengambil tempahan baharu.

KEMENTERIAN PELANCONGAN SENI DAN BUDAYA - MOTAC
Motac memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati melanggar peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sedang menyiasat sebuah syarikat pelancongan yang dikatakan gagal menerbangkan jemaah umrah semalam.

Kementerian berkata, pihaknya menyarankan syarikat terbabit menunaikan tempahan sedia ada bagi pelanggan yang telah membuat bayaran penuh dan memulangkan wang kepada jemaah yang memohon untuk membatalkan pakej umrah.

“Buat masa ini, syarikat dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan yang terdahulu,” katanya.

Sejak Isnin lepas, jemaah yang mendakwa ditipu berkampung di luar premis syarikat terbabit di Sepang bagi menuntut kembali wang mereka.

Ada yang turut membuat siaran langsung di pelbagai platform media sosial berkaitan situasi semasa serta berharap pemilik syarikat tampil memberikan penjelasan.

Sementara itu, kementerian itu turut mengingatkan mangsa agar membuat laporan polis, tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dan aduan menerusi https://motac.spab.gov.my.

Motac turut mengingatkan semua syarikat pelancongan yang terlibat dengan industri umrah agar bersikap jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan, khususnya berkenaan pakej umrah.

“Isu-isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri ini, memandangkan Motac sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukannya.

“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah.

Menurut Motac, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.