Mahkamah Taiwan kekal hukuman mati pembunuh pelajar Malaysia

Mahkamah Taiwan kekal hukuman mati pembunuh pelajar Malaysia

Mahkamah membuat keputusan berdasarkan tindakan Liang Yu-chih membunuh dengan niat serta risiko tinggi untuk mengulangi jenayah.

Pada Mac 2022, Mahkamah Daerah Ciaotou Taiwan menjatuhkan hukuman mati terhadap Liang Yu-chih atas 2 tuduhan merogol dan membunuh dengan niat serta merompak dan membunuh pada 2020. (Gambar CNA)
KAOHSIUNG:
Mahkamah Tinggi Taiwan Cawangan Kaohsiung pada Rabu mengekalkan hukuman mati seorang lelaki yang merogol dan membunuh seorang pelajar Malaysia, lapor CNA.

Keputusan itu dibuat berdasarkan tindakan kejam tertuduh, Liang Yu-chih yang membunuh dengan niat serta berisiko tinggi untuk mengulangi jenayah, menurut kenyataan mahkamah.

Keputusan berkenaan bagaimanapun masih boleh dirayu.

Pada 28 Okt 2020, Liang menculik mangsa, seorang pelajar kolej, ketika mangsa berjalan sendirian berhampiran kolejnya di Tainan.

Liang kemudian merogol, memukul dan mencekik mangsa hingga mati, sebelum mengambil dompet serta barang peribadi mangsa dan membuang mayatnya di kawasan pergunungan di Daerah Alian, Kaohsiung.

Menurut mahkamah, tindakan Liang itu dirancang rapi, termasuk menyembunyikan diri dengan membawa tali kasar yang digunakan untuk mencekik mangsa berusia 24 tahun itu.

Mahkamah turut menyatakan Liang bertindak dengan amat kejam, menyebabkan kecederaan teruk sehingga mengakibatkan pendarahan pada pelbagai organ serta bahagian tubuh mangsa.

Mahkamah juga mendapati Liang bersalah dalam percubaan merogol seorang wanita lain pada 30 Sept 2020.

Pada Mac 2022, Mahkamah Daerah Ciaotou Taiwan menjatuhkan hukuman mati terhadap Liang atas dua tuduhan merogol dan membunuh dengan niat serta merompak dan membunuh.

Liang turut dijatuhi hukuman dua tahun penjara kerana membuang mayat dan 34 bulan atas percubaan merogol.

Mahkamah Tinggi Cawangan Kaohsiung pada Mac 2023 mengekalkan hukuman mati berkenaan.

Ketua Hakim Pentadbiran Mahkamah Tinggi Kaohsiung Lee Shu-hui memaklumkan, tiga hakim sebulat suara memutuskan mengekalkan hukuman itu.

Kes ini merupakan keputusan hukuman mati pertama sejak Mahkamah Perlembagaan pada September 2024 memutuskan bahawa hukuman mati hanya boleh dikenakan bagi kes jenayah paling serius dan pembunuhan terancang yang membawa kepada kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.