
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, berkata pada masa sama penguatkuasaan perlu terus diperkukuh supaya peniaga tidak mengambil mudah penggunaan logo halal oleh Jakim, yang menjadi rujukan umat Islam untuk mendapatkan produk halal.
“Ia (menaikkan denda) mungkin salah satu penyelesaian dan kita serah kepada KPDN dan Jakim untuk mengkaji. Jika penyalahgunaan tanda halal itu semakin meningkat, kenapa tidak dinaikkan kadar denda berkenaan,” katanya dalam satu majlis di Cyberjaya, menurut Berita Harian.
Terdahulu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata insiden pihak tertentu menyalahgunakan logo dan sijil halal menunjukkan ada kelemahan dalam ekosistem Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sehingga boleh dimanipulasi.
Bendahari Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin, berkata penalti agak rendah dan penguatkuasaan tidak ketat mungkin antara punca kejadian berlaku.
Kenyataan itu susulan laporan mengenai ‘sandwich ham & cheese’ dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) yang didapati tertera logo halal, namun Jakim kemudian mengesahkan produk itu tidak mempunyai SPHM dan syarikat menghasilkannya bukan pemegang SPHM.
Berdasarkan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan menyalah guna logo halal akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
Jamali berkata, tindakan penyalahgunaan logo halal perlu ditangani dengan berkesan dan Jakim juga sudah memberikan jaminan tindakan tegas akan diambil dalam isu berkenaan.
Beliau juga menyarankan syarikat, terutama berasaskan makanan dan minuman (F&B) yang belum memiliki pensijilan halal berbuat demikian, manakala bagi yang sudah memilikinya, tidak mengambil mudah pensijilan berkenaan.
“Ada orang yang sudah dapat sijil halal ini ambil mudah, tapi kita akan sentiasa buat pemantauan.
“Kita juga meletakkan syarat supaya syarikat yang mendapat sijil halal ini mempunyai jawatankuasa halal di syarikat masing masing, eksekutif halal dan sebagainya yang akan memastikan kualiti halal itu dapat terus dipertahankan,” katanya.