
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata bahan yang digunakan dalam sandwic yang disediakan itu adalah roti, keju dan kepingan daging ayam.
“Pihak Shake and Bake Cafe mengesahkan bahawa kepingan daging ayam yang digunakan dalam sandwic tersebut mempunyai sijil halal yang sah daripada Jakim.
“Kami juga mengesahkan pada 10 Jan lalu pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jakim datang ke kilang kami untuk siasatan,” katanya.
Katanya, Shake and Bake Cafe akan memberikan kerjasama penuh kepada KPDN dan Jakim dalam siasatan itu.
KK Mart sebelum ini dilaporkan membekukan semua urusan perniagaan dengan pembekal produk sandwic itu yang dijual di salah satu cawangannya di Universiti Malaya (UM).
Rangkaian kedai serbaneka itu turut memaklumkan bahawa kemasukan produk daripada Shake and Bake Cafe ke semua cawangan kedai dihentikan.
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
Jakim turut mengesahkan sandwic yang dijual di kedai serbaneka di UM itu tidak mempunyai sijil pengesahan halal, iaitu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jakim dan KPDN menyerbu kilang Shake and Bake Cafe pada Jumaat lalu.