
Majistret Nur Amira Fatihah Osman menetap 20 Feb ini sebagai tarikh izin dakwa, sebelum pendakwaan dibuat Mahkamah Tinggi.
Mahkamah membuat ketetapan itu selepas pengurusan kes bagi laporan psikiatri terhadap tertuduh selesai.
Sebelum ini, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 tahun, Ku Adib Aizad Ku Azmi, dan Khairil Anuar Jamaluddin, masing-masing berusia 20 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Okt lalu di Jalan Pantai berhadapan Universiti Teknologi Mara, Dungun, pada 7.35 malam.
Pertuduhan dilakukan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat, tidak kurang 12 sebatan.
Dalam kejadian itu, wanita tersebut yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20 tahun, cedera.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili peguam, Norhabibah Norulalzahar, lapor BuletinTV3.
Terdahulu, suri rumah dan ibu tiga anak itu diperintah menjalani pemeriksaan mental, pada 15 Okt lalu.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Kasemani Embong, berkata pihaknya telah membuat semakan dan mendapati wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.