
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pembongkaran dilakukan di 24 lokasi iaitu rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang semalam, dengan 12 individu ditangkap termasuk pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan,
“(Mereka) dipercayai terbabit rasuah dan kegiatan pengubahan wang haram melibatkan permohonan pinjaman peribadi daripada beberapa institusi perbankan,” katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah reman pagi ini terhadap 12 individu tersebut terdiri 10 lelaki dan dua wanita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 200.
SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta, serta menyita sembilan kenderaan pelbagai jenama termasuk Ferrari, Lexus dan Mercedes-Benz.
Azam berkata, pihaknya menyita wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD) 95,000, 17 utas jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta, lima unit beg tangan berjenama dianggarkan lebih RM430,000, lima set barang kemas dianggarkan lebih RM50,000 serta dua unit komputer riba dan dua tablet.
Katanya, semua suspek ditahan dalam Op Sky dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara (BNM) dan beberapa institusi kewangan tempatan di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, dipercayai terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.
“Pelanggan tersebut, yang terdiri penjawat awam, seterusnya diperkenalkan kepada syarikat perunding kewangan yang menawarkan bantuan skim ‘multiple loan’,” katanya.
Beliau berkata, syarikat perunding kewangan itu dipercayai akan membantu menyediakan dokumen mengandungi maklumat palsu yang akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.
“Siasatan menunjukkan syarikat perunding akan mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang tersebut.
“Setelah pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik pendahuluan itu manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan,” katanya.