Najib nafi belanja jutaan ringgit tingkat imej peribadi

Najib nafi belanja jutaan ringgit tingkat imej peribadi

Pendakwaan berkata bekas perdana menteri itu menggunakan khidmat tiga pihak termasuk syarikat strategi komunikasi.

najib razak
Najib Razak berdepan 25 tuduhan termasuk menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak, yang didakwa menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB, menafikan cadangan pendakwaan pada perbicaraannya bahawa dia membelanjakan jutaan ringgit bagi meningkatkan imej peribadinya.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mendakwa Najib melakukan perbuatan itu dengan khidmat syarikat strategi komunikasi menggunakan wang didakwa hasil kegiatan haram yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Kamal Baharin berkata demikian ketika merujuk tiga cek, iaitu RM2 juta kepada syarikat media ORB Solutions Sdn Bhd; RM303,000 kepada syarikat penulisan ucapan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd; dan RM246,000 yang dikeluarkan kepada Lim Soon Peng untuk menguruskan laman Facebook ‘Ah Jib Gor’ yang ditulis dalam bahasa Cina.

Najib menjelaskan, beliau menggunakan khidmat ORB Solutions sebagai platform tambahan kerana media arus perdana tidak dapat menyebarkan mesej dan naratif kerajaan kepada semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Semarak Konsortium berperanan menulis ucapan dalam bahasa Inggeris untuk forum antarabangsa, tambahnya, lapor Bernama.

Kamal Baharin: Untuk tugasan ini, Datuk Seri boleh dapatkan orang di PMO (Pejabat Perdana Menteri) untuk melakukannya.

Najib: Kemahiran bahasa Inggeris mereka tidak cukup tinggi.

Kamal Baharin: Adakah Datuk Seri hendak cakap penjawat awam tidak mahir bahasa Inggeris?

Najib: Sukar untuk cari ketika itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya alasannya menggunakan wang daripada akaun peribadinya, bukan dana kerajaan untuk tujuan ini, Najib menjawab beliau tidak mahu membebankan kerajaan.

Sementara itu, Najib berkata, pembayaran RM246,000 bagi menguruskan laman Facebook ‘Ah Jib Gor’ berkait tugas rasminya ketika itu selaku perdana menteri untuk menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat.

Kamal Baharin: Jika ini benar-benar berkaitan kapasiti Datuk Seri sebagai perdana menteri, Unit Komunikasi PMO boleh mengendalikannya.

Najib: Ya, tetapi perkara ini melibatkan media sosial yang di luar skop kerajaan.

Kamal Baharin: PMO masih boleh mengendalikannya.

Najib: Kita perlukan pelbagai platform.

Kamal Baharin: Saya katakan ini untuk kapasiti peribadi Datuk Seri.

Najib: Ia tugas rasmi saya sebagai perdana menteri untuk berkomunikasi dengan rakyat.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Kamal Baharin bahawa wang yang diberikan kepada dua syarikat dan seorang individu itu merupakan hasil kegiatan haram, sebaliknya ia sebahagian wang derma daripada Raja Arab Saudi Raja Abdullah yang disalurkan menerusi Tanore Finance Corporation ke dalam akaun peribadinya.

Pada 30 Okt lepas, Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 tuduhan termasuk menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.