
Memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB, Najib berkata beliau pernah memberi ‘bayangan’ mengenai perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak menjelaskan secara terperinci bahawa sokongan itu diberikan dalam bentuk ‘derma peribadi’.
“(Derma itu) diberikan secara peribadi kepada saya,” katanya ketika pemeriksaan balas.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar kemudian merujuk Najib bahawa mengikut kod etika, anggota Jemaah Menteri diwajibkan mengisytiharkan semua hadiah atau bayaran diterima kerana ia boleh menjejaskan integriti mereka.
Ketika ditanya sama ada beliau mengisytiharkan derma tersebut, Najib menjawab tidak.
“Saya tak anggap hadiah akan menjejaskan integriti saya,” kata bekas perdana menteri sambil menambah pemberian itu bukan bertujuan mempengaruhi sebarang keputusan Jemaah Menteri.
Najib turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tahu ‘Saud Abdulaziz Al-Saud’ adalah anggota keluarga diraja Saudi, tetapi tidak pasti tentang hubungan ‘Saud’ dengan Raja Abdullah.
“Yang penting beliau adalah anggota keluarga diraja Saudi,” katanya, sambil merujuk surat-surat yang mempunyai lambang diraja.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian merujuk kandungan surat yang diterima daripada ‘Saud’, mengatakan ia kelihatan ditulis atas kapasiti peribadi.
“Penulis tidak menyatakan bahawa surat itu dihantar bagi pihak keluarga (diraja). Malah, beliau menyebut tentang ‘persahabatan’ yang terjalin ‘selama bertahun-tahun’, tetapi anda berkata anda tidak pernah bertemu ‘Saud’,” kata Akram.
Najib membalas, bahawa surat-surat itu ditulis atas arahan Raja Abdullah.
“Baginda tidak (menulis surat) akan melakukan sendiri,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.