KJ disiasat berkait komen ‘komplot’ sembunyi titah adendum

KJ disiasat berkait komen ‘komplot’ sembunyi titah adendum

Ketua polis negara berkata kenyataan bekas menteri kesihatan dirakam hari ini.

Khairy
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Khairy Jamaluddin disiasat kerana mengeluarkan kenyataan fitnah dan salah guna kemudahan rangkaian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan Khairy Jamaluddin disiasat berhubung dakwaan ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum berkait tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam kenyataan, Razarudin berkata kertas siasatan dibuka selepas polis menerima dua laporan terhadap bekas pemimpin Umno itu Jumaat lalu.

“Pengadu mendakwa kenyataan itu tidak benar dan memburukkan imej menteri undang-undang dan reformasi institusi (Azalina Othman Said),” katanya.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan merekodkan kenyataan Khairy petang ini, di pejabat bekas menteri itu di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Jumaat lalu, seorang pembantu Azalina membuat laporan polis terhadap bekas menteri kesihatan itu kerana mengeluarkan komen beliau ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum.

Dilaporkan, Khairy menerusi audio siar ‘Keluar Sekejap’ pada Jumaat, mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.