Kereta masuk laluan bertentangan punca 6 sekeluarga maut

Kereta masuk laluan bertentangan punca 6 sekeluarga maut

Polis berkata kereta dipandu lelaki berumur 34 tahun itu masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

Ketua Polis Semporna Mohd Sabri Zainol berkata siasatan kes kemalangan membabitkan enam sekeluarga maut di Semporna semalam masih diteruskan. (Gambar JBPM)
SEMPORNA:
Kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Jalan Semporna-Tawau di sini semalam berpunca akibat kereta dinaiki mangsa memasuki laluan bertentangan, kata Ketua Polis Semporna Mohd Sabri Zainol.

Beliau berkata kereta dipandu lelaki berumur 34 yang dinaiki enam orang berumur antara enam bulan hingga 82 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Pemandu kereta parah, lima penumpang maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Semporna.

Beliau berkata kesemua enam mangsa masing-masing tiga lelaki dan perempuan mempunyai pertalian keluarga.

“Kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 31 tahun manakala MPV dipandu lelaki berumur 29 tahun dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau manakala kereta dari arah Tawau menuju ke Semporna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Semporna Inspektor A Hemkkumar di talian 012-3650021 atau 089-782020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.