JPJ periksa 34 Puspakom, sita kenderaan perdagangan langgar peraturan

JPJ periksa 34 Puspakom, sita kenderaan perdagangan langgar peraturan

Kenderaan yang disita melibatkan kesalahan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu dan guna kenderaan tidak berdaftar.

puspakom
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya mengadakan kerjasama strategik dengan SPRM bagi kes melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menerusi Op Khas di seluruh negara serta menyita kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata menerusi Op Khas Puspakom bermula 31 Dis sehingga kini, sebanyak 21 kenderaan disita antaranya melibatkan kesalahan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu dan guna kenderaan tidak berdaftar.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kesalahan lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh serta menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

“Daripada jumlah sitaan itu, JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan berkenaan tidak mematuhi standard keselamatan kenderaan.

“Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlaku kesalahan berterusan,” katanya.

Berikutan kes itu, JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

“Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi penguat kuasa yang lain.

“JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.

Op Khas Puspakom dilaksana untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.