Gilir pengerusi PH Sabah elak bergolak, kata penganalisis

Gilir pengerusi PH Sabah elak bergolak, kata penganalisis

PKR Sabah tidak boleh terima parti lain mengetuai PH Sabah, walaupun kalah pemilihan.

Penganalisis Lee Kuok Tiung berkata pelaksanaan sistem penggiliran jawatan pengerusi PH Sabah antara parti komponen dapat mengurangkan perebutan kuasa dan memastikan keseimbangan pengaruh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis mencadangkan Pakatan Harapan (PH) Sabah menggilir jawatan pengerusi gabungan negeri bagi mengelakkan pergolakan dalaman, selepas PKR Sabah tidak boleh terima parti lain mengetuai gabungan itu.

Semalam, PKR Sabah berkeras mahu orangnya memegang jawatan pengerusi dan bukan pemimpin tertinggi sekutunya, Ewon Benedick dari Upko, yang memenangi pemilihan Disember lalu.

“Dengan melaksanakan sistem penggiliran jawatan pengerusi PH Sabah antara parti komponen dapat mengurangkan perebutan kuasa dan memastikan keseimbangan pengaruh,” kata Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah.

Lee percaya pendekatan itu boleh meningkatkan rasa ‘kebersamaan’ dalam kalangan parti komponen PH Sabah, dengan syarat ia dilaksanakan dengan mekanisme jelas dan teratur.

Pada 1 Dis lalu, Ewon menewaskan Christina Liew dari PKR, yang memegang jawatan pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi.

PKR Sabah tidak bersetuju dengan keputusan pemilihan kerana mendakwa jawatan itu sepatutnya milik PKR, menurut suatu formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen.

Upko pada 5 Jan lalu mempertahankan keputusan pemilihan kerana tiada bantahan mahupun pertikaian dibuat.

PKR Sabah di sebalik autonomi yang diuar-uarkan mahu campur tangan Majlis Presiden PH.

“PH perlu berhati-hati agar hal ini tidak digunakan parti lawan untuk menonjolkan imej gabungan nasional tidak stabil dan tidak berpijak di bumi Sabah,” kata Lee.

Beliau berkata PH Sabah sepatutnya menunjukkan kesatuan dan menonjolkan isu dekat di hati rakyat negeri itu, seperti berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

“Perebutan dalaman seperti ini mungkin memperkuat pandangan PH entiti nasional yang tidak memahami sensitiviti politik tempatan sepenuhnya.”

Beliau turut mengingatkan PH bahawa pola pengundian di Sabah sewaktu pilihan raya tempatan tidak semestinya mengikut pola PRU.

Upko, atau Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, satu-satunya komponen PH diasaskan di Sabah dan beroperasi sepenuhnya di negeri itu.

Dalam kalangan PH, DAP mendahului dengan empat kerusi di DUN Sabah, diikuti PKR (2) dan Upko (1).

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah berkata ‘krisis’ ini memerlukan pendekatan ‘menang-menang’ agar hubungan PKR dan Upko tidak terjejas.

“Barangkali perlu ada kaedah baharu agar jawatan pengerusi PH disandang secara giliran, sekiranya pemilihan secara undian tidak diterima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.