Lebih baik kerjasama dengan parti besar, KDM, Upko, STAR diberitahu

Lebih baik kerjasama dengan parti besar, KDM, Upko, STAR diberitahu

Penganalisis berkata keputusan PRN Sabah menunjukkan pengundi cenderung memilih gabungan tempatan besar seperti GRS atau parti lebih kukuh seperti Warisan.

Penganalisis berkata parti kecil seperti KDM, Upko dan STAR memang memenangi kerusi namun pasti lebih berjaya jika menganggotai gabungan lebih besar.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis mencadangkan Upko, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyertai gabungan lebih besar bagi mengukuhkan kedudukan dalam landskap politik Sabah yang kian beralih.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, orang Sabah lebih cenderung ke arah platform lebih besar dan entiti lebih kukuh dalam PRN Sabtu lalu, walaupun tiga parti berkenaan juga berkempen menggunakan naratif berpaksi tempatan.

Azmi Hassan.

Upko memenangi tiga kerusi dalam PRN Sabah ke-17, manakala STAR dan KDM masing-masing dua serta satu kerusi.

“Walaupun parti-parti ini 100% lokal, pengundi cenderung memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu sebuah gabungan, dan Warisan iaitu parti tempatan lebih kukuh.

“Ini menunjukkan sekiranya Upko, KDM dan STAR mahu bertahan dalam pilihan raya akan datang, mereka perlu menyertai sama ada GRS atau bekerjasama dengan Warisan,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, keputusan Upko menyokong kerajaan negeri pimpinan GRS bertentangan mesejnya ketika kempen, yang menyumbang kepada tiga kemenangan di Kadamaian, Tamparuli dan Moyog.

Katanya, memandangkan bekas komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu kini dilihat membelot penyokong, Upko mampu meraih lebih banyak sokongan mulai sekarang dengan menyertai GRS.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, prestasi Upko mungkin lebih teruk jika bertanding bawah PH dan memuji tindakan parti itu mengambil maklum sentimen yang lebih cenderung memilih parti tempatan.

Katanya, moto ‘Sabah First’ Upko sememangnya antara empat tunggak dalam manifesto PRN GRS, selain ‘Sabah Forward’, ‘Sabah Prosper’, dan ‘Sabah United’.

“Ini membuktikan Upko pasti sesuai dalam GRS,” katanya.

GRS menang 29 kerusi dalam PRN Sabtu lalu, disusuli Warisan dengan 25 kerusi. Selebihnya dimenangi BN (enam), calon bebas (lima), Upko (tiga), STAR (dua) dan masing-masing satu untuk KDM, PH serta Perikatan Nasional.

Lee berkata STAR pasti lebih berjaya dalam PRN Sabtu lalu sekiranya kekal bersama GRSm sebaliknya tindakan meninggalkan gabungan itu bulan lalu dilihat menjejaskan parti kerana memecahkan sokongan Kadazandusun Murut.

“STAR mungkin menang lebih banyak kerusi sekiranya kekal dengan GRS,” katanya.

Beliau berkata walaupun sekadar menang satu kerusi bukanlah perkara buruk untuk KDM, prospek parti itu masih tidak pasti dan perlu memikirkan arah tujunya.

“Mungkin tindakan terbaik KDM adalah meminta menyertai GRS untuk bergerak di bawah satu payung besar. Ia mungkin lebih lemah, tetapi bukan yang paling lemah kerana masih mampu menang satu kerusi berbanding parti yang langsung tidak menang apa-apa,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu mampu mengukuhkan sokongan Kadazandusun-Murut yang jelas terpecah akibat begitu banyak parti tempatan berusaha menarik sokongan mereka dalam PRN kali ini.

“Saya percaya, mereka akan jauh lebih kuat jika dapat bergerak di bawah satu payung,” katanya.

Azmi yang senada dengannya berkata, KDM berdepan kesukaran untuk menang dan mengekalkan sokongan pengundi Kadazandusun Murut.

KDM dibentuk pada 2022 oleh bekas naib presiden Warisan Peter Anthony yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kes memalsukan dokumen.

Anaknya, Priscella Peter adalah pemangku presiden KDM, namun gagal mengekalkan kerusi Melalap yang disandang ayahnya selama dua penggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.