
Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, berkata lelaki tempatan berusia 42 tahun itu melayari Facebook dan berminat dengan satu iklan pekerjaan dalam talian pada 21 Nov lalu.
Beliau berkata, mangsa tertarik dengan komisen ditawarkan dan kemudian berurusan dengan seorang suspek lelaki menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, suspek memberi tugasan supaya mangsa membuat bayaran harga barang diberikan terlebih dahulu dengan nilai berbeza, bermula jumlah kecil sehingga puluhan ribu dan dijanjikan akan menerima semula wang serta komisen antara 4% hingga 10% daripada nilai bayaran.
“Pengadu seterusnya membuat beberapa transaksi pindahan wang dalam talian ke 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM444,967. Pengadu menyedari dirinya ditipu apabila belum menerima bayaran komisen seperti dijanjikan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Ipoh Jumaat lepas, selepas menyedari dirinya tertipu.
Justeru, Zulkafli mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan pelbagai, selain menyeru masyarakat tidak mudah terpedaya tawaran pekerjaan menarik atau memerlukan bayaran pendahuluan.