Polis sahkan tiada laporan letupan di Seri Kembangan

Polis sahkan tiada laporan letupan di Seri Kembangan

Beberapa individu menerusi media sosial dakwa terdengar bunyi letupan sangat kuat di kawasan Seri Kembangan.

Ketua Polis Serdang A A Anbalagan berkata sehingga kini tiada laporan diterima pihaknya mengenai kejadian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan tidak menerima laporan berhubung bunyi letupan kuat didakwa didengar penduduk sekitar Seri Kembangan, semalam.

Ketua Polis Serdang, A A Anbalagan, berkata sehingga kini tiada laporan diterima pihaknya mengenai kejadian itu.

Terdahulu, beberapa individu menerusi media sosial mendakwa terdengar bunyi letupan sangat kuat di kawasan Seri Kembangan sekitar 8 malam, menurut Berita Harian.

Bunyi letupan ‘misteri’ itu didakwa turut didengar penduduk sekitar kawasan Sierra 16, Puchong Batu 14, Puncak Jalil dan Seri Serdang.

Malah, seorang pengguna Facebook mendakwa tingkap rumahnya bergegar, selain menyifatkan bunyi kuat itu tidak pernah didengar sebelum ini.

“Bergegar tingkap-tingkap rumah dan otak kami kejap (sekejap). Kuat yang tak pernah kami dengar sebelum ini. Tapi bunyi letup (letupan) macam meriam buluh itu, macam bom.

“Sekarang tengah kecoh dalam group (kumpulan) WhatsApp dan Facebook taman perumahan kami dan taman berdekatan,” dakwa individu berkenaan dalam hantarannya.

Melalui perkongsian sama, individu terbabit dalam satu kemas kini memaklumkan ada individu mendakwa bunyi itu berpunca daripada letupan bunga api bersaiz besar.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor turut memaklumkan tiada sebarang panggilan berkaitan kejadian diterima, setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.