
Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata pihaknya sudah mengemukakan pendirian itu selain laporan berkait untuk dipertimbang Majlis Presiden PH dalam mesyuarat akan datang.
“PKR masih kekal dengan pendirian sepatutnya tidak ada pertukaran, telah ada penetapan dan sepatutnya dasar terbabit dikekalkan.
“Mungkin ada kesilapan teknikal ketika pemilihan dan kekeliruan dasar, bila timbul pertikaian perlu ada campur tangan untuk Majlis Presiden PH putuskan.
“Ewon sebagai presiden Upko pun ada dalam majlis itu dan boleh sampaikan pandangannya,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu.
Pada 1 Dis lalu, Ewon yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi menewaskan Christina Liew, pengerusi PH Sabah sejak 2017 dengan kelebihan tiga undi.
Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dipersetujui PKR Sabah kerana menurutnya, jawatan pengerusi PH negeri sepatutnya milik parti itu, tanpa perlu dipertandingkan, menurut formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen.
Pada 5 Jan lalu, Setiausaha Agung Upko Nelson Angang mempertahankan pemilihan presidennya sebagai pengerusi PH susulan tiada bantahan mahupun pertikaian dibuat.
Runding kerusi ‘pisang goreng panas’
Dalam pada itu, Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Sabah, Peto Galim, berkata rundingan berkait baki 25% kerusi DUN bagi PRN antara komponen PH akan diadakan dalam masa terdekat.
“Ikut sasaran awal hendak diputuskan akhir Disember atau awal bulan ini tetapi tidak dapat memandangkan kita dalam musim perayaan dan setiap parti ada aktiviti masing-masing.
“Baki kerusi ini memang jadi rebutan, kerusi pisang goreng panas…kalau tak dapat diselesaikan dalam PH Sabah akan diserahkan kepada Majlis Presiden,” katanya.