Hajiji dapat dukungan kuat ketua cabang PKR Sabah

Hajiji dapat dukungan kuat ketua cabang PKR Sabah

Sejumlah besar daripada 26 cabang difahamkan menyokong ketua menteri terus ketuai kerajaan dengan ada menandatangani SD isytihar sokongan.

Hajiji Noor
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berdepan kritikan susulan dakwaan skandal perlombongan yang dilapor terkait beberapa Adun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sejumlah besar daripada 26 cabang PKR Sabah mendukung Ketua Menteri Hajiji Noor untuk terus mengetuai kerajaan negeri sehingga PRN akan datang.

FMT difahamkan ramai ketua cabang juga menandatangani akuan berkanun menyokong Hajiji, yang juga pengerusi parti pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pernyataan sokongan itu timbul ketika Hajiji berdepan kritikan susulan dakwaan skandal perlombongan, di mana beberapa Adun GRS juga didakwa terpalit.

Sazalye Donol Abdullah,

Awal hari ini, Setiausaha PKR Sabah Sazalye Donol Abdullah, berkata parti menzahirkan sokongan dan memberikan kepercayaan penuh kepada Hajiji untuk terus memimpin kerajaan negeri, kerana beliau telah memperkasa dan memperkukuhkan ekonomi dan menstabilkan politik Sabah.

Sazalye, yang juga ketua PKR Kota Marudu, juga berkata PKR Sabah juga menentang keras sebarang usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Hajiji, yang secara langsung mengakibatkan ketidakstabilan politik dan boleh membawa kepada “krisis baharu” dalam politik Sabah.

Namun, pimpinan PKR Sabah memberitahu media bahawa kenyataan dikeluarkan Sazalye adalah kenyataan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi PKR negeri.

FMT telah menghubungi Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh untuk ulasan.

Bulan lalu, Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin, berkata kerajaan Hajiji perlu terus berfungsi seperti biasa, sementara siasatan ke atas dakwaan skandal perlombongan berjalan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP berkata, pihaknya memberi “mandat” kepada DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam pentadbiran kerajaan negeri, sambil menegaskan parti menentang rasuah.

Siri video dikaitkan beberapa Adun Sabah dengan dakwaan skandal perlombongan dilihat menjadi sebahagian rancangan Umno menentang kerajaan GRS.

Video itu yang dikatakan didedah pemberi maklumat, telah membawa tuntutan Umno Sabah supaya Ketua Menteri Hajiji Noor meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.