
Agensi itu yang bertindak sebagai urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berada dalam fail atau rekod rasmi di bawahnya.
Menurutnya, mesyuarat lembaga itu kali ke-61 pada 29 Jan tahun lalu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mempertimbangkan permohonan dikemukakan Najib.
“BHEUU JPM sebagai urusetia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berada dalam fail atau rekod rasmi di bawahnya dan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada Istana Negara berhubung perkara ini.
“BHEUU, JPM menegaskan bahawa sebarang kenyataan boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Agensi itu turut mengesahkannya tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berhubung urusan Lembaga Pengampunan.
BHEUU JPM turut menjelaskan prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi dan semua dokumen berkaitan hanya boleh diakses ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung.
“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.
Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Beliau kini menjalani hukuman di penjara Kajang.
Isnin lalu, Najib memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Sidang tiga hakim di Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti, juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu apabila merit kes diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.