
IPD Barat Daya memaklumkan suspek berusia 50 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis berjaya merampas 200.1g heroin dan 57g syabu yang disembunyikan dalam bungkusan plastik dengan nilai keseluruhan RM11,272,” mengikut hantaran di Facebook malam tadi.
Menurutnya, suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan lapan rekod kesalahan narkotik, manakala ujian air kencing positif dadah.
Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, dua lelaki berusia 32 dan 55 tahun yang disyaki terlibat kes pecah rumah di Taman Sungai Rusa pada 5 Jan lepas ditahan kelmarin, dengan telefon bimbit, jam tangan serta wang tunai RM500 turut dirampas.
Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku terlibat kejadian berkenaan dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.