Imigresen nafi pelancong China masuk tanpa lalui pemeriksaan

Imigresen nafi pelancong China masuk tanpa lalui pemeriksaan

Dakwaan yang tular di media sosial itu tidak berasas dan boleh menjejaskan imej dan kredibiliti jabatan, kata KP Imigresen Zakaria Shaaban.

klia autogate imigresion
Menurut Jabatan Imigresen, KDN membenarkan warga asing dari 63 negara, termasuk China, menggunakan kemudahan ‘autogate’ di KLIA bagi memantapkan pengurusan kemasukan serta mengurangkan masa menunggu. (Gambar KLIA)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menafikan dakwaan bahawa terdapat pelancong China masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pemeriksaannya, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, dakwaan sedemikian tidak berasas dan boleh menjejaskan imej dan kredibiliti jabatan.

Menurutnya, peningkatan kemasukan warga China ke negara ini hasil dasar kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama melalui pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV).

“Untuk rekod, kadar kemasukan warga China selepas pelaksanaan PLV mengalami peningkatan iaitu seramai 3.9 juta pada 2024 berbanding 1.6 juta pada 2023, iaitu peningkatan hampir 140%,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, bagi memantapkan pengurusan dan mengurangkan waktu menunggu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan warga asing dari 63 negara, termasuk China, menggunakan kemudahan pintu automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pelaksanaan inisiatif ‘autogate’ ini tidak menjejaskan aspek keselamatan kerana data pasport dan maklumat kemasukan akan melalui padanan data biometrik serta ‘facial recognition’ yang disimpan dalam cip pasport.

“Pelawat yang menggunakan ‘autogate’ mesti memenuhi syarat-syarat seperti bebas daripada senarai syak dan senarai hitam serta telah mengisi ‘Malaysia Digital Arrival Card’ (MDAC), kecuali warga Singapura yang dikecualikan,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menyokong dasar kerajaan untuk mempermudah kemasukan warga asing ke Malaysia, terutamanya pelawat sosial yang mampu menjana ekonomi negara.

“Jabatan juga sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan pengembara asing yang memasuki Malaysia tanpa kompromi terhadap isu keselamatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.