Bekas guru besar mengaku tak salah peluk, cium guru pelatih

Bekas guru besar mengaku tak salah peluk, cium guru pelatih

Mohammed Mohd Som, 58, didakwa melakukan perbuatan itu di tandas dan dalam kereta.

gavel
Tertuduh dibenar ikat jamin RM7,500 dengan 6 Mac ditetapkan sebagai sebutan semula kes. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita, tahun lalu.

Tertuduh, Mohammed Mohd Som, 58, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berusia 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa dalam tandas kelas prasekolah sebuah sekolah di Lubok China, pada 16 Ogos tahun lalu.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan serupa iaitu memeluk dan mencium dahi mangsa sama dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya dalam daerah Alor Gajah kira-kira 11 malam, pada 18 Jan dan 30 Julai 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh diwakili Peguam Hanif Hassan, lapor Kosmo.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.