
Tanda-tanda pergeseran dalam kalangan parti politik yang membentuk gabungan pemerintah mungkin memperlahankan rentak agenda reformasi Anwar, menurut BMI.
Firma penyelidikan itu memetik ketegangan berhubung kemungkinan peralihan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz daripada Umno kepada PKR, iaitu parti pimpinan perdana menteri.
Skor risiko tadbir urus Malaysia dalam indeks risiko politik BMI meningkat kepada 28.2 bulan ini, berbanding 27.5 setahun lepas, kata firma itu dalam laporan pada Rabu.
Sebarang langkah Tengku Zafrul berisiko mencetuskan rasa tidak puas hati antara Umno dan PKR, yang mengetepikan persaingan selama bertahun-tahun untuk membentuk kerajaan pada 2022.
Tengku Zafrul menganggotai Majlis Kerja Tertinggi, iaitu badan pembuat keputusan tertinggi Umno, dan berita mengenai perancangannya untuk beralih kepada parti lain mencetuskan kritikan daripada partinya.
Perikatan yang telah dibentuk memberi Malaysia sedikit tempoh rehat yang amat diperlukan, selepas bertukar pemimpin beberapa kali, membolehkannya menerajui rancangan pembangunan ekonomi dan menarik pelabur global.
Sebarang pergolakan boleh sekali lagi menjerumuskan negara ke dalam ketidaktentuan politik.
Kerajaan Anwar juga mungkin akan bergelut untuk meluluskan pembaharuan antirasuah yang meluas, yang menurut BMI, terhad setakat ini.
Keputusan mahkamah baru-baru ini melepaskan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno, boleh meningkatkan keraguan tentang komitmen Anwar untuk memerangi rasuah, tambahnya.
Pada Disember, pendakwa raya membuat keputusan tidak meneruskan rayuan mencabar keputusan mahkamah melepas dan membebaskan Zahid daripada tuduhan rasuah dihadapinya. Sebulan sebelum itu, Mahkamah Tinggi menggugurkan satu kes 1MDB dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak, yang kekal berpengaruh dalam Umno walaupun sedang dipenjarakan.
Kebimbangan yang berterusan mengenai kos sara hidup juga akan menimbulkan lebih cabaran bagi kerajaan Anwar, menurut BMI.
Malaysia merancang menyasarkan semula subsidi untuk petrol paling murah dan popular menjelang pertengahan tahun ini, membolehkan kerajaan menjimatkan kira-kira RM8 bilion (USD1.8 bilion) setahun.
BMI menjangkakan langkah itu akan mencetuskan lebih rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, walaupun pembaharuan sedemikian akan membawa kesan positif bagi ekonomi.
Kerajaan menjangkakan kesan inflasi daripada penyasaran semula subsidi dapat diuruskan di tengah-tengah langkah mengagihkan semula simpanan bagi golongan memerlukan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dalam temu bual bersama Haslinda Amin daripada Bloomberg Television pada Rabu.
“Jika sokongan dari segi pindahan tunai, harga dua peringkat serta campur tangan berkaitan itu disediakan, maka kesannya boleh diuruskan. Unsur inflasi akan terbendung,” katanya.