
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim, berkata cadangan itu sebahagian langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menghadiri acara hiburan di negeri ini.
“Sebagai contoh, sekiranya terdapat individu yang membawa barangan larangan seperti bahan terlarang atau dadah, pihak berkuasa dengan kerjasama polis berhak mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Isnin lalu, Ng dilaporkan berkata kerajaan Selangor tidak menolak menguatkuasakan saringan air kencing ke atas pengunjung menjadi sebahagian SOP penganjuran konsert.
Katanya, syor itu antara perkara bakal dibincangkan dan diperincikan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.
Menurutnya, ia antara lain bagi melihat kembali kekurangan dan penambahbaikan boleh dilakukan dalam SOP penganjuran sesuatu konsert, termasuk perlu menyediakan kelengkapan mesin pengimbas dan dilaksanakan agar sebarang bahan terlarang dapat dikesan daripada dibawa masuk oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ng berkata pemain industri tidak perlu bimbang, SOP memasuki konsert adalah seperti biasa dan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang, pemantauan perlu diperketatkan serta kerjasama pihak berkuasa dan polis amat diperlukan.
Katanya, kerajaan Selangor sentiasa komited untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong sama ada dalam atau luar negara.
“Kerajaan Selangor mengamalkan dasar progresif dan inklusif serta terbuka mengalu-alukan semua penganjuran konsert hiburan yang sihat dan mengembangkan industri pelancongan.
“Kami terbuka dengan sebarang maklum balas dan pandangan bernas daripada pihak berkepentingan terutama penggiat industri demi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara harmoni dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.