
Hakim Hazeelia Muhammad menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh, Zaidi Mat Sah, 56, mengaku bersalah sejurus tuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Berita Harian.
Hazeelia juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Zaidi didakwa menerbitkan penerbitan menghasut apabila membuat satu hantaran di aplikasi X di sebuah rumah di Taman Sutera, Johor Bahru kira-kira jam 5.45 pagi pada 29 Dis lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai penjaja makanan tepi jalan selain terpaksa menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur selain anaknya yang disahkan menghidap autisme.
Bagaimanapun, Ghafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.