Montaj TMM 2026 tiada paparan masjid, Pemuda Bersatu dakwa Motac cuai

Montaj TMM 2026 tiada paparan masjid, Pemuda Bersatu dakwa Motac cuai

Exco Pemuda Ad Adib Shaharuddin berkata perlu ada kandungan video lebih seimbang dan tidak meminggirkan majoriti penduduk beragama Islam.

Central Market
Antara tempat tarikan dipaparkan dalam montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 dimuat naik di Facebook Tourism Malaysia.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (Motac) diminta menarik balik video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana didakwa cuai tidak mempamerkan elemen masjid, selepas memuatkan paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Exco Pemuda Bersatu, Ad Adib Shaharuddin, berkata perlu ada kandungan video lebih seimbang dan tidak meminggirkan majoriti penduduk negara beragama Islam.

“Video yang sepatutnya mempromosikan keunikan pelbagai budaya dan warisan Malaysia ini jelas meminggirkan majoriti penduduk negara, iaitu umat Islam, dengan hanya menonjolkan paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

“Ini merupakan satu lagi contoh kecuaian dan kealpaan kementerian dalam menjaga sensitiviti umat Islam, yang sudah beberapa kali berlaku di bawah kepimpinan menteri yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan video berdurasi 41 saat dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia, montaj tersebut memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor), dan gereja lama di Melaka.

Menurut Adib, masjid seperti Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan, dan Masjid Kristal di Terengganu bukan sahaja lambang keindahan seni bina Islam, malah simbol perpaduan serta keagungan syiar Islam negara.

Beliau berkata, gagal mengetengahkan masjid sebagai sebahagian daripada khazanah pelancongan bukan sahaja suatu penghinaan terhadap warisan Islam, malah mencerminkan dasar promosi pelancongan yang tidak inklusif dan tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, menyeru kementerian memberi penjelasan berkenaan isu tersebut dan mengambil tindakan segera.

Beliau berkata, montaj yang langsung tidak mengetengahkan keindahan masjid membina persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Pemuda PAS mempersoalkan pengulangan kesilapan Georgetown Festival melalui ketiadaan masjid dalam montaj tersebut adalah hasil kesilapan tidak sengaja, atau sebenarnya ia merupakan satu tindakan yang disengajakan atas agenda tertentu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.