
Tengku Maimun berkata Seksyen 34 Akta SPK menyatakan bahawa seseorang yang didapati bersalah mempengaruhi atau cuba mempengaruhi SPK boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh topik pelantikan kehakiman ketika merasmikan pembukaan tahun undang-undang.
Tengku Maimun menyifatkan peringatan ini sebagai amat penting.
Beliau menjelaskan bahawa calon yang bercita-cita menjadi pesuruhjaya kehakiman perlu memohon kepada SPK. Suruhanjaya itu juga akan menyemak prestasi hakim di mahkamah atasan dan mengesyorkan mereka untuk kenaikan pangkat atau kedudukan.
Tengku Maimun berkata keputusan SPK dibuat berdasarkan undi majoriti secara undian rahsia, jika tiada kata sepakat.
“Sepanjang saya menjadi ahli suruhanjaya, saya tidak pernah campur tangan proses itu.
“Oleh itu, calon yang diperakukan bukan dipilih ketua hakim negara tetapi sama ada pilihan majoriti atau keputusan bersama SPK,” kata Tengku Maimun, yang juga pengerusi SPK.
Beliau berkata nama calon terpilih dimajukan ke perdana menteri untuk pelantikan mengikut peruntukan Perlembagaan.
“Akta SPK bagaimanapun membenarkan perdana menteri tidak menerima calon yang disyorkan oleh SPK untuk pelantikan. Dalam kes sedemikian, perdana menteri boleh meminta dua lagi calon,” katanya.
Tengku Maimun berkata tiada siapa selain SPK dan perdana menteri boleh mengesyorkan calon untuk dilantik ke sesuatu jawatan di mahkamah atasan.
Beliau berkata melangkaui peruntukan Akta SPK boleh menyebabkan pelantikan sedemikian tidak mengikut Perlembagaan atau menyalahi undang-undang.
“Atas sebab ini, tiada seorang pun, sama ada presiden Badan Peguam Malaysia, mana-mana peguam bela atau peguam cara, mana-mana parti politik, peguam negara pun atau mana-mana orang lain berhak mencadangkan nama kepada perdana menteri untuk pelantikan,” katanya.
Tengku Maimun berkata melangkaui peruntukan Akta SPK merupakan cubaan mengganggu perjalanan keadilan dengan mempengaruhi operasi badan kehakiman.
“Mana-mana nama yang dipertimbangkan atas nasihat tidak wajar itu berdepan risiko dicabar melalui semakan kehakiman. Mana-mana orang yang didapati melakukan ini juga berdepan risiko didakwa di mahkamah,” tambahnya.
Tengku Maimun berkata, 15 tahun lalu, sebelum Akta SPK digubal, Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang ketika itu mengkritik kekurangan ketelusan dan potensi campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan kehakiman.
“Saya pasti kini Anwar sebagai perdana menteri dan kerajaan akan berpegang pada kata-kata itu dengan terus komited pada menegakkan kebebasan kehakiman,” tambahnya.