
Sepanjang tempoh beliau memegang jawatan hakim tertinggi, panel kehakiman berusaha menyampaikan ‘apa yang kami yakini sebagai keputusan yang tepat berdasarkan undang-undang dan fakta’, walaupun terdapat unsur politik tersurat dan tersirat hangat yang menyelubungi sesetengah kes.
“Ini sahaja patut menghapuskan sebarang tanggapan tidak berasas bahawa saya pernah memihak kepada mana-mana perdana menteri atau parti politik,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan tahun perundangan baharu.
Dilantik pada Mei 2019, Tengku Maimun, wanita pertama menyandang jawatan tertinggi badan kehakiman, menyaksikan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan pada masa ini, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.
Katanya, beliau berkhidmat dalam tempoh yang unik dalam sejarah kerana setiap perdana menteri itu mempunyai pertalian politik yang berbeza.
Tengku Maimun dijadual bersara pada Julai pada usia 66 tahun tetapi boleh kekal memegang jawatan selama enam bulan lagi jika Yang di-Pertuan Agong memilih untuk menggunakan kuasa perlembagaan baginda untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau.
“Apabila saya meninggalkan jawatan ini nanti, saya harap pelantikan ketua hakim negara akan datang mematuhi semua aspek undang-undang sepenuhnya, dengan mengambil kira keperluan memastikan kebebasan badan kehakiman, memandangkan (berlakunya) peristiwa sejarah yang malang dan mencemarkan nama baik (badan kehakiman),” katanya.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, katanya, undang-undang telah berkembang secara positif dengan hak asasi dan kebebasan ditafsir dan dikuatkuasakan dengan potensi maksimum mereka.
“Peranan badan kehakiman yang bebas telah dipulihkan dan rakyat yakin dengan kami,” tambahnya.
Tujuh hakim Mahkamah Persekutuan lain juga akan meninggalkan jawatan mereka secara berturut-turut sepanjang tahun ini.
“Marilah kita bersara dengan gembira dan bergaya, mengetahui sepenuhnya bahawa kita meninggalkan institusi itu jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
“Kita harus dengan senang hati memerhati dari jauh, bangga dengan perkembangannya, berbanding khuatir institusi kehakiman hanya tinggal bayang-bayang zaman kegemilangannya.”
Mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerjanya, pegawai kehakiman dan kakitangan sokongan dahulu dan sekarang, Tengku Maimun berkata, kejayaan badan kehakiman sebagai sebuah institusi hanya ‘sekadar angan-angan’ tanpa dedikasi dan dukungan mereka.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli badan eksekutif dan legislatif kerajaan terdahulu dan semasa kerana bekerjasama dengan badan kehakiman untuk merealisasikan semua dasar, terutamanya ketika wabak Covid-19.
Beliau akan meninggalkan jawatannya tanpa sebarang penyesalan, katanya.