
Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan, berkata MSJTC ditubuhkan Malaysia dan Singapura susulan penghakiman ICJ untuk menyelesaikan isu dua hala berlarutan berkaitan kawasan itu, termasuk penetapan sempadan maritim.
“Semasa lawatan Perdana Menteri Lawrence Wong ke Malaysia baru-baru ini untuk Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, para pemimpin kami menyemak dan membincangkan pelbagai isu dua hala, termasuk penetapan sempadan maritim.
“Kedua-dua perdana menteri bersetuju untuk terus membincangkan isu berlarutan secara konstruktif,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Dilantik (NMP), Neil Parekh Nimil Rajnikant, berhubung perbahasan Parlimen Malaysia mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.
Beliau menegaskan, RCI merupakan hal dalaman Malaysia dan tidak seharusnya menjejaskan hubungan baik dua hala antara Singapura dan Malaysia.
Jurucakap Kementerian Luar Singapura (MFA), dalam respons kepada pertanyaan media pada Januari 2024, sebelum ini menyatakan bahawa RCI adalah “hal dalaman Malaysia.”
Balakrishnan berkata, Singapura-Malaysia mengumumkan komitmen mereka menerima dan mematuhi keputusan ICJ, yang bersifat muktamad dan mengikat kedua-dua negara.
“Di bawah Statut ICJ, permohonan untuk semakan tidak boleh dikemukakan selepas tamat tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman ICJ pada 2008,” katanya.
Pada 2008, ICJ menganugerahkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, Batuan Tengah kepada Malaysia, manakala Tubir Selatan dimiliki negara di kawasan perairan di mana ia terletak.