Ambil kisah keluhan kami elak tambang naik, pengusaha bas sekolah beritahu kerajaan

Ambil kisah keluhan kami elak tambang naik, pengusaha bas sekolah beritahu kerajaan

Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia berkata kerajaan perlu 'ambil kisah' keluhan mereka walaupun hanya syarikat kecil dan cari jalan selesai masalah pengusaha.

Dilaporkan Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia berkata tambang bas itu dijangka meningkat antara 25 hingga 30% menjelang sesi persekolahan akan datang.
PETALING JAYA:
Badan induk persatuan bas sekolah meminta bantuan kerajaan supaya pengusaha tidak perlu ‘membuat keputusan sukar’ menaikkan tambang bagi sesi 2025/2026 bermula Februari ini, dalam usaha menampung kos operasi semakin meningkat.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata kerajaan perlu ‘mengambil kisah’ keluhan mereka walaupun hanya syarikat kecil dan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha.

“Kalau kerajaan memberi amaran (tambang bas sekolah tidak dinaikkan) tak bantu pengusaha langsung. Sekarang hanya kos diesel tak naik, yang lain semua naik dan kami perlu menanggung kos tambahan itu.

“Patut bantu kami sebagaimana yang berlaku kepada syarikat-syarikat besar, bukan abaikan,” katanya kepada FMT.

Amali berkata, keadaan menjadi lebih buruk susulan pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 pada Julai tahun lalu dan harga alat ganti import yang lebih mahal kerana penyusutan nilai ringgit.

“Bukan sekadar nak naik sahaja tapi banyak benda di luar kawalan kami.

“Kami terpaksa menggunakan barang import kerana harga lebih murah daripada pasaran tempatan. Misalnya tayar dari China harganya murah separuh daripada tayar tempatan. Jadi macam mana kami nak mengurangkan kos?” soalnya.

Bagaimanapun, Amali tidak mengulas terperinci jumlah kenaikan mungkin berlaku memandangkan semua itu bergantung kepada penyata untung rugi pengusaha.

Kerajaan memberikan subsidi diesel RM1.88 seliter kepada pengusaha bas sekolah berdaftar sejak 2017. Harga semasa diesel ditetapkan pada RM2.15.

Bulan lalu, Sinar Harian melaporkan Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM) berkata tambang bas itu dijangka meningkat antara 25 hingga 30% menjelang sesi persekolahan akan datang.

Menurut persatuan itu, peningkatan disebabkan kos alat ganti dan kenaikan gaji minimum serta persaingan disebabkan gangguan daripada kenderaan haram sekolah yang semakin berleluasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.